Tuesday, 13 December 2011

Dipukul 10 Penipu Gores Menang

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KUALA LUMPUR: Gara-gara membantu seorang wanita daripada ditipu sindiket gores dan menang, seorang lelaki teruk dibelasah sekumpulan 10 anggota sindiket berkenaan yang berang campur tangan mangsa dalam kejadian di Kelana Jaya, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, lelaki berusia 31 tahun itu mulanya berjalan menuju jejantas stesen transit aliran ringan (LRT) sebelum terserempak seorang lelaki sedang mempromosikan peraduan gores dan menang kepada seorang wanita.

Menurut sumber, pada mulanya wanita berkenaan enggan dan ingin berlalu pergi tetapi dihalang suspek yang terus memujuknya menyebabkan wanita itu akhirnya mengalah dan mengambil kad gores dan menang diberikan.

“Mangsa yang menyaksikan kejadian itu bertindak menghampiri mereka sebelum menasihatkan wanita berkenaan berhati-hati bagi mengelak tertipu.

“Selepas memberikan nasihat, mangsa terus berlalu pergi, namun tindakannya itu mengundang padah apabila lelaki terbabit yang geram terus mengekori mangsa sebelum menahannya,” katanya.

Sumber itu berkata, terkejut apabila dihalang suspek, mangsa terus menolak menyebabkan beberapa rakan suspek yang berada di tempat kejadian datang dan mengepungnya.

“Semua mereka kemudian membelasah mangsa hingga terjatuh sebelum menyepak kepalanya menyebabkan mangsa mengerang kesakitan.

“Tidak tahan dipukul, mangsa cuba melarikan diri tetapi gagal menyebabkannya yang ketakutan merayu dilepaskan dan meminta maaf,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, rayuan mangsa tidak diendahkan, sebaliknya kumpulan suspek itu bertindak mengangkat mangsa dengan kepala ke bawah sebelum menghempas ke tanah.

“Mujur ketika kejadian, terdapat orang awam yang melalui kawasan itu yang menjerit menyebabkan suspek yang panik terus melarikan diri dan mangsa yang cedera di kepala, muka dan badan dibantu dan dihantar ke klinik untuk rawatan,” katanya.

Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya.


Sunday, 4 December 2011

Anak berhutang, bapa diburu ah long


TAM YU menunjukkan rantai besi yang digunakan ah long untuk mengunci pintu pagar rumahnya di Taman Ria, Port Dickson baru-baru ini.
4/12/11
PORT DICKSON - Gara-gara anak perempuannya berhutang ah long, seorang lelaki warga emas terpaksa hidup dalam ketakutan dan tertekan selepas diganggu ceti haram tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Mangsa, Chin Tam Yu, 75, mendakwa, hampir setiap hari dia dan ahli keluarganya berdepan dengan pelbagai ugutan bunuh daripada kumpulan ah long terlibat.
Dalam kejadian terbaharu, kumpulan ceti haram tersebut telah mengunci pintu pagar rumahnya di Taman Ria, Port Dickson di sini dengan rantai besi.

Saturday, 3 December 2011

Rumah tak siap-siap


Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my

HULU BERNAM: “Bantulah kami yang sudah lama menunggu untuk tinggal di rumah baru. Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” kata Noor Zaidi Yak, 45, yang kesal berikutan projek perumahan Taman Malimas terbengkalai sejak lapan tahun itu.
Menurutnya, dia antara 117 pembeli rumah teres setingkat berharga RM80,000 hingga RM106,000 yang dibeli sejak 2004. 
Katanya, selain tertekan dengan tuntutan hutang bank pembeli juga kecewa dan kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang gagal menyelesaikan masalah itu. 

“Rumah kami terbiar serta dipenuhi semak-samun dan belukar yang tebal. Kami sedih melihat rumah idaman tidak dapat diduduki bersama keluarga. Kerajaan negeri salah melantik kontraktor pembinaan rumah yang dijadualkan disiapkan pada 2008 lalu.


“Beberapa pertemuan diatur pembeli dengan wakil kerajaan negeri namun belum dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini,” katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, Exco kerajaan Selangor melantik sebuah syarikat untuk menguruskan masalah itu namun tidak berhasil sepenuhnya. 

Katanya, pada Disember 2008 lalu, beberapa pembeli mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan negeri untuk memohon bantuan menyelesaikan masalah yang menghantui mereka sejak beberapa tahun lalu itu. 

Ahli Jawatankuasa Badan Bertindak Persatuan Penduduk Perumahan Taman Malimas, Azhar Che Ri, 43, berkata, mereka sudah mencari beberapa kaedah penyelesaian namun masih gagal kerana tidak mendapat komitmen daripada wakil syarikat dilantik kerajaan negeri itu. 

Katanya, mereka dihalang untuk bertindak lebih jauh apabila syarikat terbabit enggan memberikan kerjasama. 

“Kami cuba berunding dengan cara berhemah, tetapi dilayan buruk pihak syarikat itu. Kami mohon kerajaan Pusat campur tangan menyelesaikan masalah ini. 

“Pembeli pernah membuat bayaran tambahan RM15,000 kepada syarikat terbabit untuk kos tambahan yang diperlukan namun masih hampa dan kecewa,” katanya. 

Azhar berkata, pembeli juga dibebani masalah cukai taksiran yang dikenakan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor yang semakin meningkat mengikut tahun. 




Sunday, 20 November 2011

SENDIKET PENIPU GORES DAN MENANG - DIBELASAH TERUK

Betapa pengguna kini mula berani menegakkan hak mereka. Pengguna sendiri bertindak membela nasib sendiri. Tak perlu takut. Berani bertempat, takut pun bertempat.

Syarikat Gores dan Menang ini perlu dihapuskan kerana ramai telah tertipu dengan taktik kata-kata manis mereka. Kita hendaklah sentiasa berpesan dan saling ngat-mengingati sesama kita, dan hebahkan segala maklumat tentang penipuan-penipuan yang terus wujud oleh pihak tertentu yang suka mengaut keuntungan dengan goyang kaki sahaja, menindas dan MEMPERGUNA pengguna.


Bukan senang nak senang, bukan susah nak susah!









KUALA LUMPUR – Gambar-gambar yang bakal anda saksikan di bawah ini adalah kejadian sebenar amukan sekumpulan mangsa sindiket gores dan menang yang berlaku di sebuah syarikat seumpama itu di Kepong semalam.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pasukan Bertindak Hak Pengguna (CRTF) kebetulan sampai di tempat kejadian ketika sekumpulan lelaki yang dikatakan menjadi mangsa bersemuka dengan kakitangan syarikat itu.
Mynewshub.my tidak menutup muka mereka yang dibelasah itu agar anda juga dapat mengenali wajah kumpulan yang menipu anggota masyarakat kita.
Jarang masyarakat Malaysia bertindak seperti ini melainkan tahap kemarahan yang sudah sampai ke peringkat yang tidak mampu dikawal lagi.
Seperti yang kita semua maklum, media dan akhbar tempatan sering melaporkan berita-berita mengenai sindiket penipuan syarikat ‘gores dan menang!’ yang mempedaya orang ramai sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Kebanyakan mangsa yang tertipu dengan aktiviti tersebut hanya mampu bersabar atau sekadar bertindak melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa.
Malangnya tidak semua kes yang dilapor berjaya diselesaikan akibat kelicikan sindiket-sindiket seumpama itu.
Namun bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.
Menerusi emel yang diterima Mynewshub.my petang semalam, insiden berdarah melibatkan salah satu sindiket itu dapat dirakamkan dalam bentuk gambar.
Dalam kejadian tersebut, PPIM bersama beberapa orang aktivis CRTF telah berkunjung ke premis syarikat tersebut di Kepong ekoran aduan dari pengguna yang mendakwa mereka diperdaya dan ditipu syarikat itu.
Bagaimanapun, setibanya PPIM dan CRTF di premis tersebut, mereka dikejutkan apabila di’sambut’ dengan bunyi bising.
“Kami terkejut! wartawan yang kami bawa bersama ada yang lari meninggalkan tempat kejadian,” kata seorang aktivis PPIM, Harshnoel Murshim yang dihubungi Mynewshub.my di sini hari ini.

Memberanikan diri, beberapa aktivis PPIM dan CRTF menghampiri premis tersebut dan ‘berpeluang’ menyaksikan pergaduhan yang berlaku di antara kumpulan dipercayai keluarga mangsa penipuan sendiket berkenaan dengan sekumpulan lelaki  dipercayai pekerja syarikat itu.
Bagaikan bertemu buku dengan ruas, pekerja-pekerja yang bersubahat menipu orang ramai itu dibelasah secukup-cukupnya oleh kumpulan lelaki berkenaan yang mendakwa ditipu sebanyak RM2 juta oleh sendiket berkenaan.

Menurut Harshnoel, kumpulan lelaki yang menyerang ibu pejabat syarikat tersebut dianggarkan seramai 10 hingga 15 orang manakala pekerja syarikat itu hanya sekitar lima hingga enam orang.
Selain itu, beliau turut mendengar amaran yang diberikan kepada wakil syarikat itu yang mengancam akan mengambil tindakan lebih teruk terhadap mereka sekiranya cuba menipu orang ramai lagi.
“Kau buat lagi kat orang Melayu, kami kasi mati..! Kami tak bagi chance (peluang)..,” kata lelaki tersebut kepada wakil-wakil syarikat berkenaan yang ‘separuh mati’ dipukul.
Enggan melibatkan diri dengan apa yang terjadi, PPIM dan CRTF terpaksa menunda hasrat mereka untuk berbincang dengan syarikat itu yang dikatakan telah menipu seorang pengguna sebanyak RM75,000 baru-baru ini.
Bagaimanapun, PPIM dalam kenyataan yang dihantar melalui emel berharap agar tiada lagi sesiapa yang akan terpedaya dengan kumpulan sindikit seumpamanya di negara ini pada masa akan datang.

Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN