Thursday, 23 May 2013

Derita `hutang' RM60,000

May 18, 2013 Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling Kuala Lumpur: Ini azab paling besar dalam hidup saya. Tak berniat untuk meminjam RM2,000 daripada seorang rakan menyebabkan saya menanggung hutang lebih RM60,000. Dulu, saya selalu baca kisah mangsa diperlakukan dengan kejam oleh along, sekarang saya merasai betapa sukarnya hidup selepas dibelenggu hutang yang entah dari mana, kata warga emas, Adnan Ahmad, 67, yang dipukul sekumpulan lelaki dipercayai ceti haram, minggu lalu. Hanya menyatakan perlu meminjam wang berkenaan untuk membayar hutang daripada seorang lelaki yang baru dikenalinya tiga minggu lalu, dia tidak tahu rangkaian along memasang 'jerat' untuk mengaut wangnya dengan kadar faedah tidak masuk akal. Katanya, segalanya bermula Mac lalu apabila perniagaan yang diusahakan menghadapi masalah dan perlu membayar ganti rugi kepada pelanggan menyebabkan dia memerlukan wang segera. Saya kenal lelaki itu ketika dia datang makan di kedai saya. Menyedari saya menghadapi masalah, dia menawarkan diri untuk membantu dan meminta nombor akaun saya. Tidak lama kemudian, saya terima RM2,000 dengan janji untuk membayar balik pada kadar lebih tinggi. Selang dua hari, saya terima panggilan mengatakan RM1,400 dimasukkan dalam akaun saya. Saya menafikan yang saya membuat pinjaman itu namun tidak diendahkan pemanggil sebaliknya menyatakan saya perlu membayar RM2,000, katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Saharudin Bakar, semalam. Katanya, selepas itu dia menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali yang memaklumkan sejumlah wang dimasukkan menyebabkannya terpaksa menutup akaun bank bagi mengelakkan ia bertambah daripada semasa ke semasa dengan jumlah terakhir yang perlu dilunaskan melebihi RM60,000. Derita pesara tentera itu tidak terhenti di situ apabila dia terpaksa menggadai tanah warisan keluarganya di Rembau selain sebuah rumah di Kuala Lumpur bagi menjelaskan hutang berkenaan. Keadaan itu menyebabkan saya tertekan. Mereka datang ke kedai dan bawa saya ke satu kawasan di Bukit Permai, Ampang sebelum mengugut serta memukul saya menggunakan kayu menyebabkan cedera di rusuk kanan. Bukan itu saja, rumah juga dibaling cat, malah saya yang buntu terpaksa menggadaikan barang kemas milik isteri kerana mereka sering mengugut untuk mengapa-apakan saya, katanya yang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam. Sementara itu, Ketua Jabatan siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Rujuk pihak berkuasa sebelum bayar atas talian

Date of publication: May 22, 2013 Kuala Lumpur: Orang ramai terutama peniaga diingatkan supaya berhati-hati apabila berurusan dengan perniagaan secara atas talian bagi mengelakkan ditipu, sebaliknya merujuk kepada pihak berkuasa sebelum membuat bayaran. Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Mohd Mustafa Hamzah berkata, pihaknya menerima banyak aduan sejak pertengahan tahun lalu mengenai kes ditipu sebuah syarikat menjual koleksi pakaian serta tudung yang tidak menghantar stok dipesan selepas bayaran dibuat. Katanya, ia bukan saja membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit kerana mangsa yang membuat panggilan susulan tidak mendapat penjelasan sewajarnya daripada syarikat, malah wang dilaburkan juga tidak dipulangkan. Ada antara mereka meluahkan rasa kecewa di laman sosial seperti Facebook dan PPIM memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan kerugian besar serta menimbulkan ketegangan akibat rasa tidak puas hati dengan cara pengurusan syarikat itu, katanya, semalam. Sementara itu, tinjauan di laman Facebook mendapati hampir 100 komen berkaitan daripada mereka yang mengetahui wujudnya perniagaan itu dengan sebahagian besarnya kecewa kerana mereka ditipu dan operasi harian terganggu.

PENIPUAN INSURAN MENGGUNAKAN KAD KREDIT

Pada jam 6 petang, 19.4.2013 saya terima panggilan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Perempuan India menyatakan pihak insuran Global Millinium Edition akan menyaman saya sekiranya saya tidak menjelaskan tunggakkan bayaran insuran selama 5 tahun sebanyak RM1199 dan perlu dijelaskan sebelum pukul 7 petang hari sama. Sekiranya saya berminat membuat rundingan dia akan menghubungi pihak insuran, sayapun bersetuju jadi talian saya disambungkan kepada pejabat insuran tersebut dan kali ini dijawab oleh perempuan Melayu bernama Farah. Dia memaksa saya buat pembayaran separuh dahulu sekiranya tidak ada juga RM299 tiap tiap bulan sampai habis baru dia terminate insuran saya. Saya bertanya kepada dia kenapa nama saya masih ada sedangkan saya sudah termiate insuran tersebut dan syarikat lain dulu nama Golden Melinium sekarang Global Melinium, dia cakap medical card ambil alih dan saya sudah membuat perjanjian akan membayar sehingga kad expired berdasarkan rakaman suara. Memandangkan tidak mahu mengalami kesulitan, saya bersetuju untuk bank in bayaran ke dalam akaun syarikat RHB 2121070004i6260 tersebut sebelum pukul 7 malam. Bayaran ini perlu dilunaskan setiap bulan kalau tidak caj baru akan dikenakan.. Dia kemudian melalui SMS dengan menggunakan no 0163386443 mengarahkan fax resit bayaran di no 036092644, selepas membuat bayaran rasa macam kena tipu..mana ada mahkamah tinggi handles kes kecil macam ini, lepas itu menghubungi saya menggunakan private nombor jam 6 petang pula. Aduh! hangus duit susu anak. Pergi membuat report tanya Inspektor rakaman suara boleh dijadikan bahan bukti untuk mahkamah? Dia cakap mana boleh. Journalis Maya: Zaman

Pemilik Syarikat Dakwa Ditipu Syarikat Telekomunikasi

Share This Add to Delicious Share on FriendFeed Digg submit to reddit Tags Seorang pemilik syarikat pemborong barangan elektrik melahirkan rasa kesal apabila mendakwa ditipu oleh sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka negara dengan pakej yang ditawarkan kepada pengguna. Mangsa, Hew Kwee Hoh, 45, dari Buntong Tambahan, dekat Ipoh berkata, ketika menggunakan pakej tersebut, syarikat telekomunikasi tersebut berjanji untuk memberikan sebuah telefon pintar kepadanya dengan nilai yang ditetapkan. Malangnya, sehingga kini telefon yang dijanjikan masih belum diterima, katanya lagi. “Saya sudah menggunakan pakej ini sejak bulan Julai tahun lalu untuk lapan talian dengan bayaran berlainan. “Ketika itu, mereka menawarkan saya model telefon Samsung S3 tetapi saya menolaknya kerana menggunakan model yang sama. Jadi, saya ingin tukar kepada i-Phone 5 namun sehingga ke hari ini, saya masih belum terima telefon itu,” kataya ketika ditemui di Pusat Khidmat Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di Ipoh, hari ini. Kwee Hoh berkata, disebabkan tidak berpuas hati, dia bertindak membuat aduan mengenai masalahnya kepada pihak atasan namun syarikat telekomunikasi terbabit seolah-olah cuba lepas tangan. “Saya telah menghubungi dan berjumpa dengan mereka hampir empat kali untuk mendapat penjelasan tetapi terlalu banyak alasan yang diberikan. “Mereka juga telah menghantar seorang pekerja ke rumah saya untuk mengambil semula dokumen peribadi dan syarikat milik saya dan selepas itu mereka kata dalam masa seminggu telefon itu akan diserahkan kepada saya tetapi sehingga kini saya belum menerimanya,” katanya. Pada tarikh 21 Februari lalu, Kwee Hee berkata, dia dihubungi pekerja syarikat telekomunikasi yang meminta beliau menandatangani semula kontrak baru. Berang dengan tindakan syarikat terbabit, dia enggan menurunkan tanda tangan pada perjanjian baru itu kerana berasa tertipu dengan syarikat telekomunikasi terbabit. Katanya, beliau sangat kecewa dan ingin menghentikan pakej perkhidmatan talian tetap yang digunakan itu tetapi dikenakan penalti sebanyak RM150 sebulan untuk satu talian. Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah menasihatkan masyarakat meneliti perjanjian yang diberikan sebelum menandatangani mana-mana perjanjian. Ini kerana, beliau telah menerima begitu banyak aduan daripada masyarakat mengenai dakwaan kes penipuan yang dilakukan oleh syarikat telekomunikasi tempatan yang gagal melaksanakan tawaran serta janji yang diberikan. “Kita akan membuat aduan kepada Kementerian Komunikasi dan Kebudayaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mana-mana pihak yang terlibat melakukan penipuan ini,” katanya. Katanya, sejak pertengahan tahun lalu, pusat terbabit telah menerima 10 kes sama seperti dialami Kwee Hee yang melibatkan syarikat telekomunikasi.

Lewat Bayar RM1,000, Lelaki Dipukul Dan Diugut Bunuh

Gara-gara meminjam RM1,000, seorang lelaki dan ahli keluarganya terpaksa hidup dalam serba ketakutan akibat diganggu oleh sekumpulan samseng yang bertindak ganas dipercayai ceti haram selepas gagal membayar kembali hutang yang dipinjam. Malah, keadaan menjadi lebih parah apabila keluarga tersebut terpaksa hidup seperti pelarian sejak 14 Januari lalu apabila sekumpulan samseng yang dikenali Geng 04 itu bertindak mengugut bunuh dirinya dan ingin menculik anak yang baru berusia tiga tahun. Kejadian bermula apabila mangsa yang mahu dikenali sebagai Mohan, 44, ditahan ketika sedang menunggang motosikal untuk membeli makanan oleh 15 individu di hadapan sebuah bank dipercayai anggota kumpulan samseng terbabit sebelum dibawa ke tempat gelap. “Mereka bertindak memukul dan mencederakan saya dan saya telah dipukul oleh kesemua ahli kumpulan terbabit,” kata beliau kepada pemberita selepas membuat aduan di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) di Ipoh, hari ini. Selepas ditahan di sebuah tempat, mangsa kemudiannya di bawa ke rumah dipercayai milik kumpulan samseng terbabit dan meminta keluarga mangsa membayar RM20,000 sebagai wang jaminan. “Dia menyuruh abang ipar saya membayar wang dalam tempoh 10 hari. Selepas membayar wang jaminan baru mereka boleh melepaskan saya,” jelasnya. Setelah gagal mendapatkan wang jaminan dalam tempoh yang diberikan, kumpulan samseng itu bertindak memecah masuk rumah mangsa dengan mengambil barang berharga selain merampas kereta Proton Iswara milik abang iparnya yang tinggal bersebelahan rumah. Jelasnya, ketika ditahan dirumah terbabit, dia dipaksa menari di hadapan rumah dengan baju yang dibuka pada waktu pagi sambil kelakuannya itu dirakam oleh samseng terbabit. Selain itu, dia turut menerima kecederaan apabila samseng tersebut bertindak mencucuh api di bahagian leher sehingga meninggalkan kesan parut. Dalam pada itu, mangsa dan keluarganya telah membuat aduan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Balai Polis Sungai Senam dan berharap polis mengambil tindakan segera ke atas kes itu. Sementara itu, Ketua Urusetianya, Mohd Rawi Abdullah mahu pihak yang berwajib mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan peminjam wang tanpa lesen yang semakin berleluasa. “Polis harus menyelesaikan kes ini secara serius memandangkan ah long sudah mula berani bertindak menculik dan mencederakan individu yang berhutang dengan mereka.” jelasnya.

Friday, 11 January 2013

ADUAN TARIF ELEKTRIK


KUALA LUMPUR- Kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta memberikan penjelasan segera ke atas aduan kenaikan bil elektrik ekoran sistem bil dua bulan sekali.
Ini kerana, sistem ini menyebabkan bil elektrik pengguna menjadi berlipat kali ganda.
Seorang pengguna elektrik menghantar satu surat aduan dan disiarkan oleh banyak blog sebelum ini.

Namun sehingga kini, TNB belum membuat sebarang penjelasan engenainya.
Berikut disiarkan sekali lagi surat yang ditulis oleh Mohd Fazli Hassan dari Meru, Klang itu:
Tidak lama dulu DS Najib mengumumkan kenaikan tarif elektrik baru. Seingat saya, beliau menyatakan bacaan bil bulanan di bawah 400 unit atau kurang dari RM90 tidak menerima kesan.

Oleh itu pengguna yang bil bulanan di bawah bacaan 400 unit atau kurang dari RM90 tidak akan dikenakan kadar tarif elektrik baru. Mendengar pengumuman tersebut saya antara orang yang merasa lega kerana bil elektrik saya setiap bulan adalah kurang daripada RM90.
Perasaan lega itu hanya untuk sementara waktu sahaja atau beberapa bulan sahaja. Ada perancangan lain yang telah dilakukan bagi merealisasikan kadar tarif baru elektrik ini.

Beberapa bulan ini, pihak TNB (pembaca meter TNB) hanya melakukan bacaan meter dua bulan sekali sahaja ke rumah saya dan rumah-rumah jiran. Oleh itu bacaan meter elektrik yang dibuat dua bulan sekali, diselangi dengan bil anggaran yang dihantar melalui pos. Melalui cara ini, secara tidak langsung kadar tarif baru dapat dilaksanakan kepada pengguna, tanpa disedari.

Sebagai contoh bagi mereka yang menggunakan tarif elektrik sebanyak 350 unit sebulan, bayaran bil adalah sebanyak RM76.30. Melalui sistem bacaan meter DUA BULAN berserta BIL ANGGARAN (secara POS), penggunaan elektrik naik sekali ganda menjadi 700 unit (dua bulan).

Oleh itu, bayaran bil menjadi RM194.20, kiraan seperti berikut:
Penggunaan dua bulan 700 unit.
1. 400 unit X RM0.218 = RM87.20
2. 200 unit X RM0.334 = RM66.80
3. 100 unit X RM0.400 = RM40.00
JUMLAH = RM194.20

Bil bagi dua bulan menghampiri RM200. Berbanding jika bil dikenakan tiap-tiap bulan hanya antara RM70 ke RM80 sahaja. Jika dua bulan pun hanya RM140 ke RM160 sahaja jika pengguna membuat tunggakan bayaran.

Bagi bil anggaran yang dihantar melalui pos pula, jumlah yang dinyatakan hanya pada nilai RINGGIT MALAYSIA tetapi bukan pada jumlah UNIT elektrik yang digunakan. Maka bil dua bulan dalam jumlah ringgit ditolak dengan jumlah bil anggaran dalam nilai ringgit.

Kesimpulannya, TNB telah berjaya melaksanakan kadar tarif baru elektrik kepada pengguna yang pada asalnya bacaan tarif elektrik kurang dari 400 unit.

ADUAN HARGA TIDAK MUNASABAH

Tuan,

Perkara di atas adalah dirujuk.

Saya adalah salah seorang pelanggan Restoran Satay Station yang beralamat di No. 17, Jalan Dwitasik 3, Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, 56000 Cheras, Kuala Lumpur.
Di sini saya ingin membuat aduan rasmi mengenai harga yang telah dikenakan oleh pihak Restoran tersebut di mana  saya  mendapati harga makanan yang dijual adalah tidak berpatutan dan terlalu mahal.

Saya sertakan di sini resit berjumlah RM53.10 serta gambar makanan yang telah dibeli pada hari ini 18/12/2012, 8.23 malam.

Butir-butir resit adalah seperti berikut:

1.       15 cucuk satay ayam       :               RM1.20 x 15        = RM18.00
2.       15 cucuk satay daging     :               RM1.30 x 15        = RM19.50
3.       1 set nasi himpit               :                                               = RM  2.00
4.       2 bungkus mee rebus    :               RM6.80 x 2          = RM13.60
TOTAL                   = RM53.10

Berikut adalah senarai aduan saya:

A.      Harga Satay Ayam = RM1.20 secucuk
Sebelum ini harga satay ayam yang dijual adalah RM0.90 kemudiannya RM1.00, dan kini telah ditambah RM0.20 tetapi saiz satay yang dijual adalah lebih kecil berbanding dengan dahulu.

Saya mendapati harga satay ayam di pasaran kebanyakannya adalah dari RM0.70 – RM0.90 secucuk.

B.      Harga Satay Daging = RM1.30 secucuk
Sebelum ini harga satay daging yang dijual adalah RM0.90 kemudiannya RM1.00, dan kini telah ditambah RM0.30 tetapi saiz satay yang dijual adalah lebih kecil berbanding dengan dahulu.

Saya mendapati harga satay daging di pasaran kebanyakannya adalah dari RM0.70 – RM0.90 secucuk.

C.      Harga Mee Rebus = RM6.80 sebungkus
Harga ini adalah terlalu melampau berbanding dengan ‘portion’ yang diberi kerana jika dibandingkan harga di pasaran pada  ‘portion’ tersebut, harga yang akan dijual sepatutnya adalah dari RM2.50 – RM3.50.

Saya memohon agar satu siasatan dijalankan terhadap Restoran tersebut kerana harganya terlalu melampau dan mereka mengambil kesempatan untuk mengaut untung yang lebih. Ini adalah tidak adil kepada pelanggan dan jika dilihat dari sehari ke sehari pelanggan di kedai tersebut semakin bertambah, sentiasa penuh dan semakin melampau harga yang dikenakan.

Tambahan pula kualiti serta saiz ‘portion’ makanannya semakin berkurang. Kedai tersebut adalah berkonsep terbuka, dan bukanlah mempunyai fasiliti yang canggih dan persekitaran yang ‘private’ dan tertutup seperti restoran bertaraf 3 – 5 bintang. Saya tidak faham mengapa harga yang dikenakan terlalu mahal. Saya anggap perkara ini adalah sangat serius dan keadaan ini terlalu menindas pelanggan.

Dengan ini saya berharap pihak Tuan dapat melakukan siasatan yang terperinci dan memberi maklum balas terhadap aduan saya ini.

Sekian terima kasih.