Friday, 11 January 2013
ADUAN TARIF ELEKTRIK
KUALA LUMPUR- Kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta memberikan penjelasan segera ke atas aduan kenaikan bil elektrik ekoran sistem bil dua bulan sekali.
Ini kerana, sistem ini menyebabkan bil elektrik pengguna menjadi berlipat kali ganda.
Seorang pengguna elektrik menghantar satu surat aduan dan disiarkan oleh banyak blog sebelum ini.
Namun sehingga kini, TNB belum membuat sebarang penjelasan engenainya.
Berikut disiarkan sekali lagi surat yang ditulis oleh Mohd Fazli Hassan dari Meru, Klang itu:
Tidak lama dulu DS Najib mengumumkan kenaikan tarif elektrik baru. Seingat saya, beliau menyatakan bacaan bil bulanan di bawah 400 unit atau kurang dari RM90 tidak menerima kesan.
Oleh itu pengguna yang bil bulanan di bawah bacaan 400 unit atau kurang dari RM90 tidak akan dikenakan kadar tarif elektrik baru. Mendengar pengumuman tersebut saya antara orang yang merasa lega kerana bil elektrik saya setiap bulan adalah kurang daripada RM90.
Perasaan lega itu hanya untuk sementara waktu sahaja atau beberapa bulan sahaja. Ada perancangan lain yang telah dilakukan bagi merealisasikan kadar tarif baru elektrik ini.
Beberapa bulan ini, pihak TNB (pembaca meter TNB) hanya melakukan bacaan meter dua bulan sekali sahaja ke rumah saya dan rumah-rumah jiran. Oleh itu bacaan meter elektrik yang dibuat dua bulan sekali, diselangi dengan bil anggaran yang dihantar melalui pos. Melalui cara ini, secara tidak langsung kadar tarif baru dapat dilaksanakan kepada pengguna, tanpa disedari.
Sebagai contoh bagi mereka yang menggunakan tarif elektrik sebanyak 350 unit sebulan, bayaran bil adalah sebanyak RM76.30. Melalui sistem bacaan meter DUA BULAN berserta BIL ANGGARAN (secara POS), penggunaan elektrik naik sekali ganda menjadi 700 unit (dua bulan).
Oleh itu, bayaran bil menjadi RM194.20, kiraan seperti berikut:
Penggunaan dua bulan 700 unit.
1. 400 unit X RM0.218 = RM87.20
2. 200 unit X RM0.334 = RM66.80
3. 100 unit X RM0.400 = RM40.00
JUMLAH = RM194.20
Bil bagi dua bulan menghampiri RM200. Berbanding jika bil dikenakan tiap-tiap bulan hanya antara RM70 ke RM80 sahaja. Jika dua bulan pun hanya RM140 ke RM160 sahaja jika pengguna membuat tunggakan bayaran.
Bagi bil anggaran yang dihantar melalui pos pula, jumlah yang dinyatakan hanya pada nilai RINGGIT MALAYSIA tetapi bukan pada jumlah UNIT elektrik yang digunakan. Maka bil dua bulan dalam jumlah ringgit ditolak dengan jumlah bil anggaran dalam nilai ringgit.
Kesimpulannya, TNB telah berjaya melaksanakan kadar tarif baru elektrik kepada pengguna yang pada asalnya bacaan tarif elektrik kurang dari 400 unit.
ADUAN HARGA TIDAK MUNASABAH
Tuan,
Perkara di atas adalah dirujuk.
Saya adalah salah seorang pelanggan Restoran Satay Station yang beralamat di No. 17, Jalan Dwitasik 3, Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, 56000 Cheras, Kuala Lumpur.
Di sini saya ingin membuat aduan rasmi mengenai harga yang telah dikenakan oleh pihak Restoran tersebut di mana saya mendapati harga makanan yang dijual adalah tidak berpatutan dan terlalu mahal.
Saya sertakan di sini resit berjumlah RM53.10 serta gambar makanan yang telah dibeli pada hari ini 18/12/2012, 8.23 malam.
Butir-butir resit adalah seperti berikut:
1. 15 cucuk satay ayam : RM1.20 x 15 = RM18.00
2. 15 cucuk satay daging : RM1.30 x 15 = RM19.50
3. 1 set nasi himpit : = RM 2.00
4. 2 bungkus mee rebus : RM6.80 x 2 = RM13.60
TOTAL = RM53.10
Berikut adalah senarai aduan saya:
A. Harga Satay Ayam = RM1.20 secucuk
Sebelum ini harga satay ayam yang dijual adalah RM0.90 kemudiannya RM1.00, dan kini telah ditambah RM0.20 tetapi saiz satay yang dijual adalah lebih kecil berbanding dengan dahulu.
Saya mendapati harga satay ayam di pasaran kebanyakannya adalah dari RM0.70 – RM0.90 secucuk.
B. Harga Satay Daging = RM1.30 secucuk
Sebelum ini harga satay daging yang dijual adalah RM0.90 kemudiannya RM1.00, dan kini telah ditambah RM0.30 tetapi saiz satay yang dijual adalah lebih kecil berbanding dengan dahulu.
Saya mendapati harga satay daging di pasaran kebanyakannya adalah dari RM0.70 – RM0.90 secucuk.
C. Harga Mee Rebus = RM6.80 sebungkus
Harga ini adalah terlalu melampau berbanding dengan ‘portion’ yang diberi kerana jika dibandingkan harga di pasaran pada ‘portion’ tersebut, harga yang akan dijual sepatutnya adalah dari RM2.50 – RM3.50.
Saya memohon agar satu siasatan dijalankan terhadap Restoran tersebut kerana harganya terlalu melampau dan mereka mengambil kesempatan untuk mengaut untung yang lebih. Ini adalah tidak adil kepada pelanggan dan jika dilihat dari sehari ke sehari pelanggan di kedai tersebut semakin bertambah, sentiasa penuh dan semakin melampau harga yang dikenakan.
Tambahan pula kualiti serta saiz ‘portion’ makanannya semakin berkurang. Kedai tersebut adalah berkonsep terbuka, dan bukanlah mempunyai fasiliti yang canggih dan persekitaran yang ‘private’ dan tertutup seperti restoran bertaraf 3 – 5 bintang. Saya tidak faham mengapa harga yang dikenakan terlalu mahal. Saya anggap perkara ini adalah sangat serius dan keadaan ini terlalu menindas pelanggan.
Dengan ini saya berharap pihak Tuan dapat melakukan siasatan yang terperinci dan memberi maklum balas terhadap aduan saya ini.
Sekian terima kasih.
Subscribe to:
Posts (Atom)